Thursday, April 28, 2011

Kekasih Paris Hilton diserang






LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Polis menangkap seorang lelaki yang cuba menarik teman lelaki Paris Hilton selepas pasangan itu tiba di sebuah mahkamah kelmarin untuk memberi keterangan terhadap seorang suspek yang cuba memecah masuk rumah selebriti berkenaan pada tahun lalu.

Seorang jurugambar agensi berita Associated Press (AP) dan beberapa wartawan yang mewawancara pasangan itu melihat seorang lelaki cuba menarik leher teman lelaki Paris, Cy Waits sebelum dia dicekup seorang pengawal peribadi selebriti tersebut dan dibawa keluar.

Lelaki berkenaan, James Rainford, 36, ditangkap kerana cuba mencederakan Waits dan dia kini ditahan dengan ikat jamin AS$20,000 (RM59,540).

Insiden berlaku ketika Paris dan Waits berjalan memasuki bangunan Mahkamah Tinggi di Van Nuys untuk memberi keterangan terhadap Nathan Parada, 31, yang didakwa cuba merompak kediaman Paris.

"Seorang penceroboh menumbuk belakang kepala Waits semasa kami berjalan masuk ke dalam bangunan mahkamah itu," kata Hilton di akaun Twitternya.

Mereka bagaimanapun meninggalkan mahkamah tersebut tanpa sebarang kecederaan. - Agensi

 copyright : Kosmo

Monday, April 25, 2011

Penyanyi Bogel .. tanda protes


TAIPEI - Seorang penyanyi, Lee Mi mencetuskan kekecohan kerana dia melakukan protes separuh bogel di depan pejabat Presiden Taiwan, Ma Ying-jeou di sini semalam.

Tindakan itu dibuat kerana dia mahu membangkitkan kesedaran mengenai kempen keselamatan nuklear.
Dalam protes itu, dia duduk sambil memegang poster yang menutup payu daranya manakala beberapa orang lagi memakai baju berwarna putih.

Bagaimanapun, beberapa anggota polis datang dan menghampiri penyanyi berkenaan.
Tubuh badan penyanyi itu yang separuh bogel kemudian ditutup dengan sehelai kain oleh anggota-anggota polis wanita.

Tunjuk perasaan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 krisis Chernobyl, Ukraine yang berlaku pada 26 April 1986.

Isu keselamatan nuklear semakin mendapat perhatian masyarakat dunia ekoran kejadian yang berlaku di loji jana kuasa nuklear Fukushima Daiichi di timur laut Jepun yang bocor akibat dilanda ombak tsunami pada 11 Mac lalu.

Sehingga kini loji itu gagal dibaiki menyebabkan berlaku kebocoran radioaktif. - Agensi

copyright : Kosmo

Sunday, April 24, 2011

Tinggal dalam pembentung banjir

LAO LI tinggal di dalam pembentung sebelum dia diusir di Haikou, selatan China baru-baru ini.



BEIJING - Seorang lelaki tinggal di dalam pembentung banjir di Haikou, selatan China, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Lelaki itu, Lao Li memasang lantai papan, pintu dan kusyen dalam pembentung yang sepanjang 1.82 meter.
Bagaimanapun, lelaki itu yang berusia 30 tahun dan masih bujang diusir dari pembentung tersebut.

Seorang pegawai berkata: "Dia akan diberikan sebuah rumah. Kami tidak boleh membenarkan penduduk tinggal di dalam pembentung ." - Agensi

copyright : Kosmo

Thursday, April 21, 2011

Cinta antara 2 darjat...


CINTA itu seolah-olah mempunyai kuasa sakti. Lahirnya kehidupan insan dikatakan segalanya atas dasar cinta. Namun, cinta itu terkadang sangat rumit untuk diramal dan memang benar apabila falsafah menyebut, cinta itu buta. 

Tatkala ghairah cinta sudah menyelinap dalam sukma, para pencinta sanggup berkorban jiwa dan raga. Jika dirayu untuk melastik bintang sekali pun, ia akan diredah tanpa keluh kesah. Betapa hebatnya kuasa cinta sehinggakan perbezaan darjat waima keturunan, protokol atau harta pun bukan penghalang untuk mendirikan istana bahagia.

Lihat saja riwayat cinta yang diulit antara pasangan yang berbeza martabat, antara putera raja dan wanita biasa. Ada yang kecundang di pertengahan jalan. Namun, tidak kurang pula legenda cinta mereka diingati berzaman lamanya.

Cinta antara dua darjat yang bertunas antara Raja Abdullah II dengan Rania Al Abdullah merupakan antara cinta teragung untuk diteladani. Rania sendiri barangkali tidak menyangka kehadirannya di sebuah majlis keraian pada tahun 1993 telah mengubah rentak hidupnya.

Hanya membalas senyuman seorang lelaki yang asyik memerhatikan gelagatnya yang canggung di celah-celah para aristokrat lain, telah menjadikannya seorang permaisuri di sebuah negara di Jordan.

Raja Abdullah telah menyunting Rania menjadi suri hidupnya hanya selepas 10 bulan mengenali hati budi masing-masing.

“Hidup ini penuh keajaiban dan bunga-bunga cinta telah menjadikan hidup saya semakin bermakna,” kata Rania yang kini berusia 41 tahun.

Permaisuri yang dikategorikan antara yang paling intelektual di dunia itu sangat disayangi rakyat jelatanya. Baginda juga sudah pun melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang permaisuri dengan melahirkan empat pewaris.

Daripada seorang pegawai pemasaran untuk syarikat perbankan Citibank dan Apple Inc, Rania mewakili angan-angan dan fantasi kebanyakan gadis yang sentiasa mengimpikan untuk dilamar oleh seorang putera raja.

Pesona wartawan janda

Cerita Rania berlainan dengan kisah cinta seorang wartawan penyiaran yang terkenal di Sepanyol. Letizia Ortiz Rocasolano, 39, menjangkakan hidupnya akan merana apabila bercerai dengan suaminya yang merupakan seorang guru. Sangkaannya itu ternyata meleset.

Kemunculan Letizia yang membaca berita ekonomi bagi Spanish TV, telah menambat hati Putera Felipe yang merupakan pewaris takhta Austurians.

Apabila cinta sudah bertaut, Felipe sanggup melakukan apa saja termasuk menghubungi pemilik stesen berkenaan untuk mengatur pertemuan dengan wartawan itu. Letizia tergamam ketika bertentang mata dengan seorang putera kesayangan Sepanyol dalam satu majlis makan malam khas yang diaturkan untuknya.

RAJA HUSSEIN dari Jordan yang mengahwini rakyat biasa, Elizabeth Najeeb Halaby atau Puteri Noor.

Walau tampil bersahaja, pesona janda tersebut telah mencairkan hati putera berkenaan. Status wartawan penyiaran mewujudkan kebimbangan kepada institusi beraja di sana tetapi, bukan di hati Putera Felipe.
Ternyata, pengumuman pertunangan pasangan itu pada tahun 2003 mengejutkan dunia. Letizia dilaporkan diselubungi dengan pelbagai kontroversi.

Namun, Putera Felipe tidak mempedulikan segala tohmahan. Tanggal 22 Mei 2004, Letizia mengucapkan selamat tinggal kepada kariernya. Mereka disatukan dalam sebuah majlis gilang gemilang di Madrid. Kini, mereka dikurniakan dua puteri.

Terpaut dengan atlet

Bagi rakyat Monaco, adalah menjadi satu kehampaan apabila putera mereka, Putera Albert memilih rakyat biasa menjadi bakal permaisuri. Barangkali takdir sudah tertulis, Putera Albert tidak berupaya mencurahkan kasih dan sayangnya pada gadis yang sedarah dengannya. 

Kelibat Charlene Wittstock yang merupakan perenang kelahiran Bulawayo, Zimbabwe, dalam keadaan tidak terurus dalam satu majlis sosial telah menawan hati Putera Albert.

“Saya memang buta tentang fesyen, saya masih ingat lagi, saya telah meminjam gaun berwarna hijau daripada seorang rakan. Kemudian saya warnakan kuku saya dengan warna merah, saya seperti pokok krismas ketika bertemu dengan seorang putera idaman ramai,” tutur Charlene, 33, ketika ditemu bual oleh wartawan.
Kemunculan sebegitu dipandang sebelah mata oleh sebilangan hadirin. Namun, pada mata Putera Albert, Charlene sungguh menawan.

Sungguh tidak disangka, kenyataan yang terpacul daripada mulut jaguh sukan renang itu tadi tidak semena-mena membuatkan rakyat Monaco jatuh cinta pada kerendahan hatinya.
Menyamar sebagai orang biasa

“Hidup saya bukan satu kisah dongeng, hidup saya sangat nyata.” Demikian kata Puteri Mary yang merupakan Puteri Mahkota Denmark yang menjadi inspirasi gadis-gadis yang cintakan fesyen.
Puteri Mary atau nama asalnya Mary Elizabeth Donaldson, 39, telah melalui momen-momen indah ketika berkenalan dengan Putera Frederik.

Seawal perkenalan mereka di sebuah bar di Sydney, pewaris empayar Denmark menyamar sebagai orang biasa. Putera itu hanya memperkenalkan dirinya sebagai Fred sahaja.

Putera Frederik dikatakan cuba menguji kesetiaan pegawai pemasaran itu. Sememangnya, cinta wanita kelahiran Scotland dan kemudian bermigrasi di Australia itu memang tegar.

Meskipun Mary seorang gadis biasa, sikapnya yang penuh santun sangat disenangi. Kesungguhannya mempelajari bahasa Denmark mengharukan rakyat negara itu. Mary yang dilabelkan sebagai individu yang berpengaruh dalam dunia fesyen dan sering dikaitkan dengan Puteri Diana Spencer kini sudah melahirkan dua puteri dan dua putera. 

Cinta yang tewas

Sebelum Perang Dunia Pertama, cinta seorang putera perlu dicurahkan kepada seorang puteri saja. Namun, sejurus selepas era itu, putera-putera raja terus meroboh tembok peraturan itu.

GRACE KELLY meninggalkan gemerlap bintangnya di Hollywood untuk menjadi permaisuri Putera Rainer III di Monaco.


Ada yang bahagia, tidak kurang juga yang menderita. Paling teruk, ia terpalit dengan kematian. 

Sophie Chotek misalnya, adalah legenda cinta malang zaman dulu kala. Wanita itu dikatakan tidak cukup baik kepada Archduke Franz Ferdinand, putera dari Austria-Hungary.

Walaupun telah melahirkan tiga cahaya mata, Sophie dilayan dengan begitu buruk. Walaupun menyandang gelaran Duchess of Hohenburg, beliau dihalang menjalani kehidupan seperti penghuni istana.

Pada alaf baru ini pula, laluan percintaan Puteri Diana dikatakan yang paling getir. Meskipun beliau dalam kalangan anak bangsawan, Diana dikatakan tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kehidupan diraja. Beliau melalui detik sukar apabila suaminya, Putera Charles dikhabarkan mempunyai hubungan sulit dengan Camilla Parker Bowles.

Kehancuran jiwa Diana sudah tidak dapat dibendung dan akhirnya pasangan itu bercerai pada Ogos 1996. Setahun kemudian, wanita yang dilabelkan antara wanita teranggun di dunia itu mati dalam nahas kemalangan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan keluarga Charles.

Pada 29 April ini, anak sulung kesayangan Diana, Putera Williams mengulangi sejarah yang pernah diciptakan ibu bapanya. Williams memilih melangsungkan perkahwinan bukan dengan wanita berdarah kerabat. Beliau akan bersatu hati dengan anak seorang usahawan, Kate Middleton. Tidak seperti mendiang ibunya, Kate disayangi pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II.

Namun, ramalan astrologi terhadap kehidupan selepas perkahwinan mempelai itu agak menakutkan. Antaranya ialah Kate dikatakan sukar mendapatkan anak. Putera William pula dijangka akan mengalami satu kemalangan ngeri. Ramalan yang paling kritikal adalah pasangan itu akan bercerai semasa berumur 40-an. Persoalannya adakah ia akan benar-benar berlaku? 

Namun, ramai menganggap kuasa cinta antara Kate dan William dapat mengatasi segala-galanya.

copyright : kosmo

Wednesday, April 20, 2011

sejuta belia berhimpun


PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan, satu pendekatan baru perlu diperkenalkan menerusi pelbagai program dan aktiviti yang bersifat kontemporari bagi meraikan golongan belia sempena Hari Belia Negara yang akan disambut pada hujung Mei depan.
Sambil menyifatkan projek untuk menghimpunkan sejuta belia di Putrajaya selama tiga hari dari 27 hingga 29 Mei nanti akan dapat direalisasikan, beliau berkata, cara sambutan tersebut dirancang akan menjadi tanda aras baru kepada dasar kerajaan dalam menghargai belia di negara ini.
Kerajaan, katanya, mahu belia dari seluruh negara berkumpul di Putrajaya untuk melakukan segala aktiviti membina yang mereka sukai di kota yang menjadi pusat pentadbiran negara itu.
“Putrajaya dibina sebagai bandar orang penting di negara ini, tapi pada 27 hingga 29 Mei ini datanglah (belia) ke sini. Buatlah apa sahaja yang anda suka. Kalau nak terjun bangunan di Putrajaya pun terjunlah... tapi pakai payung terjun,” katanya secara berseloroh ketika berucap melancarkan Segmen Malaysia Cergas sempena Hari Belia Nergara 2011 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini semalam.

copyright :kosmo

Thursday, April 14, 2011

Helah Pengemis...

gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Rindukan Myanmar, tetapi tiada wang untuk kembali ke negara asal. Itu antara alasan seorang warga asing di ibu kota yang mengemis di jejantas stesen monorel sebagai cara untuk memperoleh wang bagi meneruskan kehidupan di sini selepas hasratnya kembali ke negara asalnya tidak kesampaian.

Wartawan Metroplus yang menemubual lelaki Myanmar terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, 50-an berkata, dia sangat rindukan kampung halaman dan saudara-mara di negaranya, namun tidak berkemampuan pulang kerana tiada wang menyebabkannya terpaksa mengemis di sini.

Ali ketika ditemui di Stesen Monorel Titiwangsa mendakwa, setiap hari dia menjadikan stesen berkenaan dan deretan bangunan sebagai ‘lubuk’ memperoleh wang dan wang itu akan digunakannya bagi membeli makanan serta sebagai perbelanjaannya.

“Setiap hari saya akan mendapat RM20 hingga RM40 bergantung kepada rezeki. Saya tidak mampu bekerja kerana sudah tua, dengan hanya meminta sedekah memudahkan saya memperoleh wang.

“Saya juga tidak memiliki rumah menyebabkan saya berteduh di masjid sekitar ibu kota,” katanya.

Menurut Ali, sehingga kini lebih lima tahun dia datang ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan terbabit kegiatan mengemis itu sejak dua tahun lalu.

“Saya rindukan Myanmar dan berharap suatu hari nanti dapat pulang bertemu sanak saudara di sana,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Metroplus di Jalan Chow Kit dan Lorong Haji Taib mendapati kebanyakan pengemis menunggu di tangga stesen monorel dan deretan bangunan bagi meraih simpati orang ramai.

Bagi peminta sedekah yang hanya dikenali sebagai ‘Pak Long’ yang berasal dari Johor, berkata dia tiada pilihan melainkan meminta sedekah demi mendapatkan sesuap nasi.

“Saya tidak memiliki keluarga dan rakan, apa yang boleh dilakukan melainkan meminta sedekah,” katanya.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ketika dihubungi berkata, masalah berkaitan pengemis di ibu kota sukar dibendung kerana orang ramai masih memberi derma kepada pengemis terbabit.

Katanya, pihak JKM sentiasa melakukan operasi bersepadu berkala bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan Jabatan Imigresen setiap bulan bagi mengurangkan kadar permasalahan itu.

“Selagi ada orang yang memberi derma selagi itu masalah ini tidak dapat diselesaikan,” katanya.

Wednesday, April 13, 2011

Bakal pengantin dicekup kes dadah


JEMPOL - Sepasang bakal pengantin yang dijadual melangsungkan perkahwinan bulan depan adalah antara 41 orang suspek kes dadah yang ditahan dalam Ops Tapis Khas di sini kelmarin

Suspek lelaki berusia 20-an itu ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1987 kerana disyaki positif dadah jenis heroin manakala tunangnya yang berusia 18 tahun pula ditahan di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952 kerana dipercayai memasukkan dadah ke dalam badan.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, operasi yang dijalankan selama 12 jam itu turut menahan dua orang suspek kerana memiliki dadah.

"Kedua orang suspek lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki syabu seberat dua gram dan Seksyen 39 (a) akta yang sama kerana memiliki heroin seberat 5.2 gram dan mereka juga dipercayai pengedar.

"Daripada 41 orang, empat suspek ditahan di bawah Seksyen 15 (1) ADB 1952 iaitu dua lelaki dan dua wanita manakala 35 orang suspek ditahan di bawah Seksyen 3 (1) APD kerana disyaki positif dadah jenis heroin," katanya di sini semalam.

copyright : Kosmo