Sunday, April 10, 2011

wanita dalam pantang mengamuk dituduh buang bayi

gambar hiasan


JOHOR BAHRU: Pengunjung Jaya Square dekat sini, semalam gempar apabila seorang wanita yang masih dalam pantang mengamuk kerana dituduh cuba membuang bayi berusia 23 hari dengan meninggalkannya bersama beg berisi susu di atas sofa.
Terdahulu, dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, Lew Pei Siee, 26, yang kelihatan tidak terurus meninggalkan bayinya itu di atas sofa berkenaan dan mengusung beg plastik ke terminal bas berhampiran untuk meminta sedekah.



Orang ramai yang lalu berhampiran sofa itu terkejut mendapati bayi lelaki berkenaan menangis sebelum seorang daripadanya membuatkan susu untuknya.

Saksi, Feng Ling Lee, 36, yang bekerja sebagai penjual tiket bas berkata, dia membantu mendukung bayi berkenaan manakala rakannya menyusukannya.



“Kami kemudiannya menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk, sebelum beliau bergegas datang.




“Tidak lama kemudian, seorang wanita mendakwa ibu kepada bayi berkenaan tiba-tiba muncul dan mula bising-bising kononnya kami cuba merampas anaknya itu,” katanya di lokasi kejadian.

Menurut Feng, seorang daripada rakannya memaklumkan pernah melihat wanita terbabit beberapa kali di kawasan berkenaan sambil meminta duit daripada orang ramai kononnya untuk membeli tiket bas dan pelbagai lagi.



Selain itu, rakan Feng turut mendakwa ada melihat wanita terbabit beberapa kali tidur di sekitar kawasan berkenaan.Lew yang mengamuk dan meminta bayinya itu dikembalikan kemudiannya ditenangkan empat anggota polis diketuai Ketua Polis Balai Johor Jaya, Cif Inspektor Mohamaden Bujang.




Lew dan bayinya kemudiannya dibawa ke Balai Polis Johor Jaya untuk siasatan lanjut sebelum seorang lelaki dipercayai suaminya, Loo Soon Aun, 27, yang bekerja di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Kota Masai dihubungi dan menjemputnya pulang.




Tan bagaimanapun enggan mengulas kejadian itu dan menyerahkannya kepada polis serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengambil tindakan.




Sementara itu, sumber polis berkata, maklumat diperoleh daripada orang awam mendapati wanita berusia 26 tahun terbabit sering membawa kanak-kanak berlainan ke lokasi berkenaan.




"Wanita dikenali sebagai Lew Pei Siee, 26, itu sering dilihat di kawasan berkenaan dengan membawa dua lagi kanak-kanak berumur dua dan empat tahun ke sana sejak sebulan lalu.




"Orang ramai di sana kemudiannya menyangka dia membuang bayi dan memaklumkan kepada kami untuk datang.




"Kami sudah mengesahkan dengan pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA) bahawa wanita terbabit melahirkan bayi lelaki berkenaan di sana pada 17 Mac lalu," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin mengesahkan kes berkenaan.


copyright : metro

2 comments:

Areyoudys said...

as salam..
akibat berburuk sangka..nasib baik tak jadi apa2 kan. hm..

Muhammadnuraizuddin said...

itulah..