Monday, April 11, 2011

Lotus Renault kekal momentum cemerlang


PASUKAN yang membawa imej Proton, Lotus Renault sekali lagi mengekalkan momentumnya dalam perlumbaan kereta Formula Satu (F1) 2011 apabila pemandunya, Nick Heidfeld mencatat kemenangan podium kedua, kali ini pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang, petang semalam.
Heidfeld yang bermula di petak keenam, berjaya menonjolkan kehebatan sebenar jentera Lotus Renault dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang juara dunia, Sebastian Vettel dari Red Bull dan Jenson Button dari McLaren.
Lebih manis, ini adalah kejayaan podium kedua berturut-turut buat pasukan berimej Malaysia itu selepas seorang lagi pemandu mereka dari Rusia, Vitaly Petrov turut menaiki podium di tempat ketiga pada GP Australia dua minggu lalu.
Ketua pasukan, Eric Boullier jelas sekali gembira dengan konsistensi yang dipamerkan oleh pasukannya selepas mengumpul 30 mata dalam dua pusingan GP dan menduduki tempat keempat dalam kategori pengeluar jentera di belakang Red Bull (72), McLaren (48) dan Ferrari (36).
"Ia satu perlumbaan yang mencabar dengan banyak kali hentian pit, pelbagai perubahan dalam strategi dan sebenarnya, saya rasa semuanya tidak berjalan mengikut perancangan kami," kata Boullier semalam.
"Tetapi, pasukan ini tetap berjaya mencatat kejayaan walaupun di tempat ketiga. Itu adalah perkara paling penting bagi saya.
"Sudah pasti saya gembira untuk diri Nick (Heidfeld), tetapi saya juga berpuas hati dengan seluruh pasukan ini. Ia satu lagi ganjaran yang besar bagi kami, terutamanya setelah beberapa isu timbul pada hari pertama sesi latihan.
Apa pun saya sangat gembira," ujarnya lagi.
Sementara itu, seorang lagi pemandu mereka, Petrov terpaksa menyerah kedudukannya di tempat kelima apabila masalah mekanikal jenteranya menyaksikan dia terkeluar daripada perlumbaan pada pusingan ke-49.
"Memang bagus untuk memenangi podium sekali lagi, tetapi kami juga agak terkilan kerana kehilangan satu lagi jentera (Petrov) ketika baki 10 lagi pusingan," kata Boullier.
"Tidak diragui lagi jentera kami amat kompetetif, meskipun ia masih belum cukup pantas untuk memenangi perlumbaan.
"Jadi kami perlu terus berusaha keras untuk meningkatkan prestasi jentera, tetapi kejayaan dua podium berturut-turut ini sudah pasti amat memuaskan hati kami," jelasnya lagi.

copyright : kosmo

No comments: